Aslkm dan hai,
Ibu terlupa anak tertidur di kerusi belakang
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditinggalkan ibunya lebih lima jam di dalam kereta, maut dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di USJ4, petang kelmarin.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan terlupa anaknya itu di dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolah berkenaan jam 11 pagi. Mangsa, Nawal Iris Samsudin, ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta ibunya sekitar jam 5.30 petang dipercayai kepanasan dan lemas. Ibunya segera membawa anak bongsu daripada dua beradik itu ke klinik berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia. Sebelum ke sekolah, Nor Zatusy Hazwa dikatakan menghantar adiknya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat itu kerana terlewat setengah jam.
Tak sedar anak tidur
Beliau tidak menyedari anaknya tidur di tempat duduk belakang keretanya. Apabila kembali ke keretanya lima jam kemudian, Nor Zatusy Hazwa terkejut mendapati anaknya terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan kebiruan dan kaku. Seorang kakitangan sekolah berkata kereta ibu mangsa ditutup rapat selain diletakkan di kawasan parkir tidak berbumbung dan cuaca panas terik.“Selepas mesyuarat ibu mangsa dikatakan menghadiri kelas untuk mengajar dan terlupa anak yang ditinggalkan dalam keretanya. “Mayat mangsa ditemui basah kuyup dan kebiruan,” katanya ketika ditemui BH. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa dipercayai mati lemas akibat terperangkap dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi ibunya.
“Siasatan mendapati, ibu mangsa, didapati tanpa sedar meninggalkan anaknya yang sedang tidur di dalam kereta. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur kecuaian dan dikelasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 selepas solat Jumaat dengan dihadiri dihadiri kita-kira 30 ahli keluarga dan sahabat ibu bapanya. Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata keluarga mereka reda dengan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
Sumber : Berita Harian
Sedih dan simpati. Itulah perasaan saya bila terdengar kes ini. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kesakitan yang dialami oleh mangsa sehingga hembusan nafasnya yang terakhir.
Saya juga tidak dapat bayangkan perasaan ibu mangsa apabila menemui mayat anaknya dalam keretanya sendiri selepas 5 jam ditinggalkan tanpa sengaja. TANPA SENGAJA.
Bila mana saya membaca dalam FB Berita Harian, tukang-tukang komen yang tiada insurans mulut dengan senang je cakap si ibu ini sengaja bunuh anaknya sendiri. Apalah perasaan ibu mangsa apabila satu dunia ini melihat beliau sebagai pembunuh anak sendiri?
Begitu berat dugaan yang menimpa beliau. Saya berharap ibu mangsa akan tabah menghadapi dugaan beliau. Saya pasti kejadian ini akan menjadi iktibar dan pengajaran kepada siapa-siapa di luar sana.
Sebagai perkongsian, kes yang berlaku ini bukanlah pertama kali saya dengar dan baca. Beberapa tahun lepas, secara tidak sengaja saya telah menonton Oprah Winfrey Show. Dalam rancangan tersebut, ada perkongsian pengalaman dan cerita dari seseorang tetamu Oprah seperti kes yang berlaku di atas. Bezanya, ibu mangsa mengambil pendekatan menceritakan pengalamannya menghadapi kejadian tragik tersebut yang telah meragut nyawa anak perempuannya. Beliau sanggup mengambil pendekatan itu agar ibu bapa di luar sana tidak akan mengalami kejadian yang sama dan mengambil iktibar dari kejadian tersebut.
Untuk membaca kejadian tersebut, klik di sini dan di sini
Moga kita dapat akan dapat pengajaran dari kejadian. Setiap kejadian ada hikmahnya.
TQ for reading my entry..
0 ulasan:
Catat Ulasan